Sorting by

×

57 DITANGKAP TAK PUASA DI MELAKA

Masa Membaca:59 Saat

BEMBAN 13 Mac – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) setakat ini merekodkan 141 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang Ramadan tahun ini.

Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat berkata, daripada jumlah itu 72 kes didapati mempunyai potensi untuk dibawa ke mahkamah bagi tindakan lanjut.

“Daripada 72 kes itu, sebanyak 57 kes melibatkan kesalahan tidak berpuasa yang melanggar Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Masjid Al-Hakeem, Tehel sempena Sambutan Ihya’ Ramadan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026M/1447H yang disempurnkan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Md Azhan menasihatkan umat Islam agar menghormati dan mengimarahkan bulan Ramadan dengan menunaikan ibadah puasa seperti yang dituntut.

“Perbandingan tangkapan dalam tempoh sama tahun lalu menunjukkan jumlahnya tidak banyak berbeza.

“Kesedaran terus dipupuk melalui pelbagai program termasuk ceramah agama, namun ia juga bergantung kepada kesedaran dan kepekaan individu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

356
Kongsi :
Previous post BUANG SAMPAH: 85 TERMASUK REMAJA DI MELAKA BAKAL JALANI KHIDMAT MASYARAKAT
Next post PERAHU NAGA ‘GERGASI’ BAKAL PUKAU ORANG MELAKA