Sorting by

×

5,924 PMKS MELAKA TERIMA MANFAAT PEMBANGUNAN USAHAWAN

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SERI NEGERI 5 Disember – Sebanyak 5,924 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Melaka menerima manfaat pelbagai inisiatif pembangunan keusahawanan dengan jumlah peruntukan RM15.96 juta bagi tempoh 2021 hingga Oktober 2025.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soo Chin, berkata peruntukan itu disalurkan melalui pelbagai program di bawah SME Corporation Malaysia (SME Corp) bagi memperkukuh keupayaan PMKS termasuk ke arah pendigitalan dan peningkatan daya saing.

“Antara program yang memberikan manfaat kepada usahawan negeri ini ialah Program Business Accelerator (BAP) 3.0 kepada 29 penerima (RM6.13 juta), Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP)
kepada 76 penerima (RM7.10 juta), TUBE – Dana Pembangunan (57 penerima, RM0.77 juta), TUBE – Dana PEMERKASA (empat penerima, RM0.05 juta).

“Selain Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizMe) kepada382 penerima (RM0.98 juta), Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE) untuk dua penerima (RM0.40 juta), Program Ekosistem Inklusif (i-SEE) seorangpenerima (RM0.20 juta), Program Penarafan PKE & Akreditasi (SRA) melibatkan 5,324 penerima.

“Diikuti latihan Galakan Eksport Bumiputera (GEB) seramai 29 pemerima, geran SMEs Go Global untuk tiga penerima (RM0.33 juta) dan latihan SMEs Go Global (17 penerima),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Leng Chau Yen (PH-Banda Hilir) mengenai langkah Kerajaan Negeri dalam membantu PMKS beralih kepada digital pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Allex, data itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri bersama agensi pusat dalam memastikan usahawan Melaka terus berdaya tahan dan mampu bersaing di pasaran lebih luas.

“Kerajaan akan mempergiat usaha membantu usahawan tempatan termasuk memperluas peluang latihan, geran sokongan dan program pembangunan bagi memperkukuh ekosistem PMKS negeri.

“Sokongan konsisten penting bagi membantu usahawan menghadapi perubahan teknologi serta memastikan sektor PMKS terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

297
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU SEDIA JENGKAUT MINI SETIAP DUN, PERMUDAH URUSAN GALI KUBUR