
650 ANAK PARLIMEN JASIN TERIMA BAJU RAYA
BUKIT BARU 10 Mac – Inisiatif kongsi rezeki menceriakan seramai 650 anak-anak keluarga kurang berkemampuan sekitar Parlimen Jasin, meraikan Aidilfitri dalam suasana lebih ceria apabila masing-masing menerima sumbangan baju raya baharu pada program berlangsung di sebuah pusat menjual pakaian, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, program tradisi sejak lima tahun lalu itu bertujuan memastikan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan merasai kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dr. Muhamad Akmal berkata, pada peringkat awal penyertaan cuma melibatkan 400 penerima sahaja namun atas dasar prihantin dan ambil peduli jumlah itu ditambah hingga mencapai 700 orang.
“Apa yang baik, memberikan manfaat kepada rakyat kita sambung dan teruskan, kerana program ini dimulakan sebagai acara tahunan sejak sebelum saya bergelak wakil rakyat Merlimau lagi.
“Pada penganjuran sebelum ini jumlah penerima cuma sekitar 100, kemudian ditambah kepada 200 hingga 300 dan kali ini mencipta rekod dengan 650 orang,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, penerima turut melibatkan keluarga tidak layak menerima bantuan kebajikan, ibu bapa atau penjaga berdepan kekangan kewangan dan tidak sekadar dihadkan kepada asnaf semata-mata.
Jelas beliau, ada ibu bapa yang mungkin tidak layak menerima bantuan kebajikan kerana pendapatan yang melebihi syarat, namun tanpa disedari merkea sebenarnya menggalas komitmen yang besar terhadap keluarga terasuk daripada aspek perbelanjaan wang ringgit.
“Sebab itu kita fokus kepada anak-anak kurang mampu dan juga yang belum lagi mempunyai baju raya supaya mereka juga dapat merasai kegembiraan menyambut Aidilfitri.
“Setiap anak-anak menerima satu set pakaian raya lengkap termasuk songkok, baju Melayu dan sampin bagi lelaki, manakala kanak-kanak perempuan menerima baju kurung bersama tudung,” katanya.
Dalam pada itu, salah seorang penerima, Nurkyra Emeldha Kalit, 11, teruja kerana dapat memakai pakaian warna kegemarannya iaitu merah jambu pada pagi Aidilfitri nanti.
“Terima kasih YB (Yang Berhormat) Dr. Akmal kerana memberi bantuan pakaian raya. ‘Happy’ sangat!” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


