Sorting by

×

7 BAZAR AIDILFITRI BEROPERASI SELURUH MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KLEBANG 23 Februari – Sebanyak tujuh bazar Aidilfitri beroperasi di seluruh Negeri Melaka sepanjang Ramadan tahun ini, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan lebih 500 peniaga yang menjual pelbagai barangan persiapan menyambut Syawal seperti baju raya, kasut, kelengkapan dan perhiasan rumah, makanan dan lain-lain.

Jelas beliau, Glam Bazar Klebang di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) merupakan bazar Aidilfitri terbesar Melaka pada tahun ini iaitu membabitkan seramai 253 peniaga, diikuti Bazaraya Ikonik Banda Hilir dengan hampir 200 peniaga.

“Selain itu, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) merekodkan bazar Aidilfitri terbanyak dengan tiga bazar iaitu di tapak parkir MITC, Ayer Keroh; Melaka Mall dan perkarangan parkir KipMall.

“Di bawah Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) pula terdapat dua bazar Aidilfitri, sementara di Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), tiada penganjuran bazar Aidilfitri pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni peniaga dan pengunjung Glaz Bazar Klebang, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman; Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff; Penganjur Glam Bazar Klebang Abdul Rashid Omar serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Rais memaklumkan, antara kelainan yang dibawa pada tahun ini adalah rata-rata peniaga mengambil pendekatan mengetengahkan produk-produk buatan tempatan dari dalam negara.

Malah, menurut beliau, ada juga penganjur dan peniaga menerapkan elemen perniagaan kreatif seperti menampilkan hadiah cabutan bertuah menarik berupa kereta dan motosikal dalam menarik kehadiran pelancong.

“Selain itu, tinjauan juga mendapati sambutan yang diterima di beberapa bazar Aidilfitri ini amat luar biasa, lebih-lebih lagi, ada yang telah beroperasi lebih awal iaitu seminggu sebelum puasa memandangkan ia jatuh pada musim cuti panjang.

“Di peringkat Kerajaan Negeri kita melihat sambutan hebat ini sebagai satu pertumbuhan ekonomi yang baik dan kita akan terus memberi sokongan dalam membantu usahawan tempatan kita terus berkembang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post PENDUDUK KAMPUNG TAMPOI BERSYUKUR SRA JAIM JADI REALITI
Next post MESRA: RAKYAT DIDAHULUKAN, KEMAKMURAN DIPERTAHAN