Sorting by

×

7 ‘BLACK SPOT’ KEMALANGAN, 10 ‘HOTSPOT’ KESESAKAN DIKENAL PASTI DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 13 Februari – Polis Melaka mengenal pasti 10 lokasi ‘hotspot’ kesesakan dan tujuh ‘black spot’ kemalangan di laluan utama negeri ini sempena pelaksanaan Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 bermula 15 Februari ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mokhtar berkata, lokasi berkenaan melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran.

Selain itu, katanya jajaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sepanjang kira-kira 50 kilometer dari Simpang Ampat hingga Jasin yang kerap berlaku kesesakan dan kemalangan turut diberi pemantauan.

“Terdapat tujuh lokasi dikenal pasti sebagai black spot dan 10 lokasi sebagai hotspot di seluruh negeri Melaka.

“Kawasan seperti Lebuh AMJ (Lebuh Alor Gajah–Melaka–Jasin) serta jalan di Krubong antara lokasi yang kerap berlaku kemalangan dan akan diberikan perhatian khusus sepanjang operasi,” katanya pada sidang media Program Advokasi Op Selamat 25 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, semalam.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Ketua Bahagian Pencegahan Perubatan dan Pemulihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dr Azlan Darus; Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Siti Zarina Mohd Yusop dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Zaidi Mat.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 159 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) kontinjen Melaka akan digerakkan sepanjang tempoh Op Selamat bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta mencapai sasaran kemalangan sifar.

“Penugasan ini melibatkan pemantauan di lokasi hotspot dan black spot, pintu utama plaza tol serta penyuraian kesesakan bagi memastikan aliran trafik terkawal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

388
Kongsi :
Previous post TAHUN BAHARU CINA: ETS SEDIA 12 TRIP LALUAN JB-KL-JB DI STESEN BATANG MELAKA
Next post MELAKA TUBUH BOMBA KOMUNITI DI SEMUA PPR