Sorting by

×

758 PESAKIT MENTAL TERIMA RAWATAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KLEBANG 6 Oktober – Seramai 758 pesakit mental di negeri ini mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dari tahun 2021 hingga 2025.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, daripada jumlah berkenaan, penghidap kemurungan atau depresi direkodkan tertinggi di Melaka iaitu sebanyak 48 peratus.

Menurut beliau, selain itu, 24 peratus lagi mengalami keresahan melampau (anxiety disorder), manakala 18 peratus menghidap skizofrenia.

“Seramai 158 pesakit yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Melaka kini menunjukkan perkembangan semakin baik dan meneruskan rawatan susulan di klinik kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Hee Sem memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memainkan peranan penting dalam menangani masalah mental membabitkan komuniti.

“KKM menyediakan platform saringan kendiri, MyMinda, bagi membolehkan orang ramai mengenal pasti risiko awal dan memudahkan akses bantuan awal.

“Mereka yang berisiko digalakkan membuat janji temu dengan berjumpa doktor di klinik-klinik kesihatan melalui aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan konsultansi status mental masing-masing.

“Ia sangat penting kerana kesihatan mental sering kali menjadi aspek yang paling terjejas, tetapi masih kurang mendapat perhatian serius dan sewajarnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

555
Kongsi :
Previous post ‘TIDAK MAMPU KE GAZA TETAPI AKAN TERUS BERDOA UNTUK GAZA’
Next post MELAKA BILA LARUT MALAM TERUS PIKAT PELANCONG