
80 KARYA CAT AIR MALAYSIA-CHINA WARNAI MELAKA
BANDA HILIR 11 April – Pameran seni Road Silk Passion: Malaysia-China Art Exhibition 2026 menghimpunkan 80 karya dari dua negara dalam menonjolkan keunikan seni lukisan cat air.
Ia menjadi medan mempamerkan hasil seni tangan lebih 30 artis dari Malaysia dan China.
Pengerusi Pertubuhan Cat Air Malaysia Calvin Chua Cheng Koon berkata, objektif pameran tersebut adalah bagi memperkukuh jaringan kolaborasi seni antara Malaysia-China, selain menjadi wadah memperkenalkan keindahan budaya Malaysia ke persada antarabangsa.
Katanya, pameran yang bermula 7 April hingga 31 Julai 2026 itu turut menjadi platform menjual hasil seni anak tempatan dengan naratif pemandangan, berasaskan lokasi bersejarah, keunikan etnik Baba Nyona serta pelbagai lagi.
“Pameran ini merupakan kali keempat kami anjurkan dengan bekerjasama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) di negeri bersejarah ini.
“Lebih menarik pada pameran kali ini, kita bawakan karya-karya yang membawa konsep tersendiri seperti keindahan landskap, warisan budaya, perpaduan, keamanan serta persahabatan antara dua negara.
“Selain itu, pameran ini juga dapat membuka peluang ekonomi kepada artis tempatan menerusi hasil jualan karya, selain memperluaskan misi dan visi dalam menghasilkan karya yang lebih bermutu pada masa hadapan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pameran Silk Road Passion: Malaysia-China Art Exhibition yang disempurnakan Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong di Balai Seni Lukis, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Nasrul Ahmad; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Calvin berkata, pameran itu juga berupaya mendidik generasi muda supaya menghargai seni visual serta menggamit lebih ramai pelancong.
“Pameran ini mampu memberi pendedahan kepada generasi muda untuk membina kreativiti, pemikiran kritis dan kepekaan budaya selain dapat membuka minda dan melahirkan bakat baharu.
“Kita harap dengan pameran ini, ia boleh mengangkat martabat seni cat air serta dapat menjadi sebahagian daripada pembentukan masyarakat yang berbudaya, berjiwa halus dan mempunyai identiti yang kuat,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


