Sorting by

×

848 PREMIS KAMPUNG DUN LENDU LENGKAP ALAMAT DIGITAL

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

LENDU 31 Mei – Inisiatif Kampung Digital diperkenalkan Kerajaan Negeri terus menunjukkan kemajuan positif di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu menerusi pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Sehingga kini, sebanyak sembilan kampung di kawasan itu telah berjaya melengkapkan proses penampalan pelekat alamat digital melibatkan 848 premis kediaman di kampung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, DUN Lendu merupakan antara kawasan terawal di daerah Alor Gajah yang menunjukkan pencapaian ketara dalam pelaksanaan inisiatif tersebut.

“Daripada 225 kampung di daerah berkenaan, 19 terletak dalam DUN Lendu dan baki 10 kampung di kawasan itu dijangka akan melengkapkan proses sama menjelang akhir tahun 2025.

“Inisiatif Kampung Digital bertujuan memudahkan urusan penduduk luar bandar, termasuk penghantaran barangan, perkhidmatan kecemasan serta urusan rasmi seperti kemas kini maklumat dan permohonan bantuan.

“Dalam usaha meringankan beban rakyat, Kerajaan Negeri turut menanggung RM5 daripada kos sebenar RM10 untuk proses penggantian kad pengenalan yang memaparkan alamat baharu tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian penutup WRUR DUN Lendu di Kompleks Japerun Lendu di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Ab Rauf turut menyeru penduduk kampung yang telah menerima alamat baharu supaya segera mengemas kini maklumat pada kad pengenalan masing-masing bagi memastikan akses kepada perkhidmatan dapat berjalan lancar.

“Pelaksanaan Kampung Digital ini akan membawa impak besar kepada kesejahteraan dan kemajuan masyarakat luar bandar secara keseluruhan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5457
Kongsi :
Previous post WRUR DUN LENDU: KEBAJIKAN PENDUDUK JADI KEUTAMAAN
Next post BEKAS KOMANDO SERTAI PARAKOM, BANTU MASYARAKAT SETEMPAT