Sorting by

×

9 SEKOLAH DUN KESIDANG TERIMA SUMBANGAN RM45,000

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KESIDANG 26 Mac – Sebanyak RM45,000 diperuntukkan kepada sembilan buah sekolah di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang bagi menyokong pembangunan pendidikan serta pelaksanaan program sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin berkata, selain memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, pemerkasaan sektor pendidikan juga turut diberi tumpuan sewajarnya.

“Selain menyantuni pelajar-pelajar dan memastikan tiada yang tercicir sekolah di DUN Kesidang, perhatian turut diberi kepada pelaksanaan program pembangunan pelajar.

“Justeru itu bagi sesi persekolahan 2026 ini sebanyak sembilan buah sekolah kebangsaan termasuk sebuah sekolah menengah disalurkan peruntukan sejumlah RM5,000 bagi setiap sekolah.

“Dengan peruntukan disalurkan ini ia secara tidak langsung dapat membantu pembangunan sekolah termasuk pelaksanaan program dan juga aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Allex yang juga Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, usaha kerjasama dengan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) banyak membantu pihaknya menyediakan pelbagai bentuk sumbangan kepada sekolah untuk keselesaan murid.

“Selain peruntukan daripada Kerajaan Negeri dan Japerun, saya juga sentiasa berusaha mendapatkan sokongan daripada pihak swasta serta NGO bagi mendapatkan dana
untuk membantu sekolah di kawasan ini.

“Misalnya pada tahun lalu sebanyak 15 unit pendingin hawa telah disumbangkan ke beberapa sekolah terpilih di bawah DUN Kesidang antaranya SMK Tun Tuah yang menerima tiga unit bagi kegunaan kelas pendidikan khas.

“Selain itu juga pendingin hawa ini turut diberikan kepada SK Malim, SK Tengkera termasuk Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” katanya.

Tambahnya, usaha mendapatkan sumbangan atau dana akan diteruskan bagi memastikan sekolah mempunyai kemudahan yang lebih selesa sekali gus menyokong proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

543
Kongsi :
Previous post MELAKA PERKENAL SISTEM eDUN JULUNG KALI APRIL INI