
99 PERATUS PENIAGA EMPAT BAZAR RAMADAN MPHTJ PATUH PERATURAN
KESIDANG 28 Februari – Sebanyak 99 peratus peniaga di empat bazar Ramadan seliaan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mematuhi peraturan yang ditetapkan hasil pemantauan dijalankan sepanjang minggu pertama Ramadan.
Pemantauan itu melibatkan Bazar Ramadan Bukit Tambun Durian Tunggal, Bazar Ramadan MITC, Bazar Ramadan Kampung Tun Razak, Bukit Katil dan Bazar Ramadan Taman Melaka Baru.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, secara keseluruhan tahap pematuhan peniaga adalah sangat memuaskan.
“Hanya segelintir peniaga melakukan kesalahan kecil seperti tidak memakai apron ketika mengendalikan makanan.
“Alhamdulillah, 99 peratus peniaga mematuhi peraturan, ada yang kita buat teguran dan mereka terus ambil tindakan pembetulan.
“Penguatkuasa bersama jabatan perlesenan MPHTJ juga membuat rondaan setiap hari di semua bazar Ramadan bawah seliaan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan ‘Walkabout’ di Bazar Ramadan Taman Melaka Baru, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata MPHTJ menyelia sebanyak 11 bazar Ramadan dan satu bazar Aidilfitri bagi tahun ini.
“Semua peniaga dinasihatkan supaya mengikuti peraturan ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Paling utama peniaga makanan perlu mendapatkan suntikan tifoid, memakai apron dan jaga kebersihan diri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


