
POLIS TUMPAS SINDIKET PENIPUAN PELABURAN, TAHAN SEMBILAN INDIVIDU
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata selain penahanan individu berusia 21 hingga 35 tahun itu, pihaknya turut merampas 33 telefon bimbit, sembilan komputer riba, tujuh kereta serta 14 buku nota.
“Sindiket ini dikesan beroperasi sejak Januari lepas dan menjadikan sebuah rumah sebagai pusat panggilan bagi aktiviti pelaburan dalam talian tidak wujud melalui aplikasi sembang seperti TanTan, Tinder, Telegram dan Facebook yang menyasarkan rakyat negara jiran sebagai mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sindiket itu menawarkan gaji RM3,000 untuk pekerja pusat panggilan itu serta menjadikan kawasan perumahan berpagar sebagai hostel dan pejabat operasi.
Ahmad Dzaffir berkata ahli sindiket dipercayai ditugaskan mencari mangsa untuk melabur dalam skim pelaburan syarikat palsu yang kononnya wujud dengan menggunakan nama syarikat terkenal dalam pasaran.
Beliau berkata bagi menarik perhatian mangsa untuk melabur, sindiket itu menawarkan jumlah keuntungan yang lumayan, namun setelah pelaburan dibuat pelbagai alasan diberikan mereka bagi mengelak bayaran keuntungan sehingga mangsa akhirnya tidak dapat menghubungi pihak sindiket.
“Walaupun kegiatan sindiket ini tidak melibatkan rakyat negara ini khususnya di Negeri Sembilan, masyarakat diingatkan tidak mudah terperdaya dengan pelaburan secara dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat,” katanya.
Beliau berkata kesemua individu itu direman empat hari bermula Isnin lepas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.