
INDAHNYA BUSANA TRADISIONAL LAMA
SEIRING dengan era serba moden masa kini, terdapat pelbagai jenis reka bentuk pakaian yang dipakai melambangkan diri seseorang, baik dari sudut status, budaya dan sebagainya.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa setiap pakaian yang diperagakan menyimpan 1,001 rahsia.
Jika kita menelusuri sejarah peradaban Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, pakaian pada era itu melambangkan identiti, budaya dan sejarah sesuatu kaum atau bangsa.
Meskipun zaman sudah berubah, tapi sedarkah kita bahawa busana lama sebenarnya mampu menyumbang dalam sektor pelancongan di Malaysia lebih-lebih lagi di Melaka Negeri Bersejarah.
Misalnya, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) memartabatkan budaya klasik Melayu dengan memperagakan busana tradisional mereka.
Busana tradisional ini akan dipakai oleh petugas muzium di bawah PERZIM pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja.
Terdapat dua jenis busana tradisional lama yang diperagakan iaitu baju Melayu dan baju kurung. Kedua-duanya mempunyai keunikan yang tersendiri.

Untuk busana lelaki, Baju Melayu yang berwarna merah serta bercorak kotak-kotak adalah inspirasi daripada pakaian masyarakat zaman dahulu yang meninggalkan kesan nostalgia kepada rakyat Malaysia.
Bercirikan engan dan seluar pada baju ini bersaiz tiga suku, selain dipakai bersama tanjak, capal serta samping yang diikat secara bebas, ia menampilkan gaya tradisional yang unik.
Selain itu, bagi busana untuk petugas wanita pula, corak kotak-kotak berwarna merah pula terletak elok dan cantik pada bahagian kain.
Apa yang menjadikan ia lebih sempurna adalah kain tersebut dipadankan dengan baju berwarna merah jambu serta dipadankan dengan tudung bawal, sekali gus menyerlahkan pesona keayuan dan kejelitaan.
Usaha ini jelas membuktikan bahawa busana tradisional bukan sahaja berfungsi sebagai pakaian semata-mata malah mampu menjadi medium yang menaikkan nama Melaka.
Sudah tiba masanya masyarakat menghayati keindahan seni dan warisan Melaka dengan busana tradisional yang diketengahkan PERZIM.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.