Sorting by

×

REMPUH PALANG TOL, PANDU HILUX LAWAN ARUS KETIKA CUBA LOLOS DARIPADA POLIS

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 6 Mei – Nekad mahu meloloskan diri, seorang pemandu pacuan empat roda yang disyaki terbabit dalam aktiviti curi kabel memecut kenderaannya sejauh 100 kilometer dan memandu secara berbahaya dengan melawan arus ketika dikejar sepasukan polis.

Namun selepas hampir satu jam dikejar polis, cubaannya meloloskan diri gagal dan lelaki berusia 29 tahun yang memandu Toyota Hilux itu akhirnya ditahan di kilometer 216.8 Lebuhraya Plus menghala utara, pada 5.30 pagi tadi.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, terdahulu sepasukan polis mengesan Toyota Hilux berkenaan yang berada dalam keadaan mencurigakan di Taman Teknologi Cheng.

Katanya, menyedari kehadiran polis, pemandunya memecut Toyota Hilux berkenaan melalui beberapa jalan utama sebelum menghala ke Plaza Tol Ayer Keroh.

“Pemandu terbabit juga bertindak merempuh palang plaza tol sebelum meneruskan pemanduan menghala ke Johor Bahru, Johor.

“Secara tiba-tiba dia bertindak berpatah balik dan memandu secara melawan arus menghala ke Kuala Lumpur, akibatnya Toyota Hilux berkenaan merempuh empat kenderaan termasuk sebuah lori,” katanya.

Menurutnya, susulan itu pasukan polis menjalankan Op Tutup sebelum pemandu terbabit berjaya ditahan untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan keatas Toyota Hilux itu turut menemui 44 batang wayar kabel dan dia disyaki terbabit dengan aktiviti curi kabel.

“Malah semakan lanjut dilakukan mendapati pemandu pacuan empat roda ini juga mempunyai 20 rekod jenayah lampau termasuk empat kes dadah,” katanya.

Jelasnya, permohonan reman akan dibuat terhadap lelaki terbabit bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 279 KK, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

634
Kongsi :
Previous post PANGGUNG BANGSAWAN MAHU JADI PENTAS SENI DAN BUDAYA DUNIA
Next post 32,000 PENGUNJUNG SERBU BANDA HILIR, NIKMATI SUASANA MELAKA BILA LARUT MALAM