
PERSINGGAHAN ‘CRUISE’ MEWAH BAWA LIMPAHAN KEPADA MENARA TAMING SARI
BANDA HILIR 12 Mei – Persinggahan kapal persiaran mewah ke Melaka antara faktor membantu peningkatan jumlah pengunjung ke Menara Taming Sari sejak penghujung tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan berkata, peningkatan itu dapat dilihat pada setiap Isnin dan Rabu ketika kapal persiaran mewah daripada Singapura serta Genting Dreams berlabuh di perairan negeri ini.
Katanya, limpahan pengunjung asing begitu ketara pada dua hari terbabit dan ia memberi satu nilai tambah kepada pelancongan negeri khususnya Menara Taming Sari.
“Inisiatif Kerajaan Negeri menggamit pelancong antarabangsa ke sini (Menara Taming Sari) menyaksikan pertambahan pengunjung agak ketara pada hari Isnin dan Rabu.
“Dua hari tersebut dikira sebagai hari kerja atau hari biasa dan jumlah kehadiran pengunjung secara harian bukan pada hujung minggu itu memang mendatar, namun menerusi usaha tersebut memang amat membantu kami,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Nur Azan berkata pihaknya menjangkakan kehadiran pengunjung antarabangsa itu akan terus meningkat pada masa akan datang.
“Kami jangka jumlah kehadiran pelancong asing ini akan meningkat, apatah lagi apabila dimaklumkan beberapa lagi kapal persiaran mewah menunjukkan minat untuk berlabuh di Melaka.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang berjaya membawa limpahan ekonomi kepada pemain industri pelancongan Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.