Sorting by

×

GENG ‘WINGERS’ BERKONVOI 1,500KM PROMOSI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 12 Mei – Konvoi Jelajah Wingers Camaraderie Ride (WCR) Seluruh Malaysia 2025 menjadi pemangkin kepada promosi awal Tahun Melawat Melaka 2.0.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, konvoi itu juga bertujuan mempromosikan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 serta Forum Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang dijadual berlangsung di negeri ini pada September nanti.

“Konvoi ini diketuai oleh Goldwing Motor Club Malaysia melibatkan kira-kira 35 buah motosikal Honda Goldwing daripada Singapura serta beberapa negeri di Malaysia.

“Ia merupakan sebahagian daripada siri promosi yang bermula di Kuala Lumpur, menuju ke Pulau Pinang, Terengganu, seterusnya ke Johor dan berakhir di Melaka dengan jarak perjalanan dianggarkan sejauh 1,500 kilometer.

“Konvoi ini bukan sekadar himpunan peminat motosikal berkuasa tinggi, malah menjadi platform strategik untuk memperkenalkan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Pelepasan Konvoi Jelajah Promosi WCR Seluruh Malaysia 2025 di perkarangan sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Kanan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Asmaliana Ashari dan Timbalan Pengerusi WCR, Awalludin Sham Bokhari.

Menurut Zaidi, kemuncak kepada program itu adalah penganjuran WCR 2025 pada Oktober depan yang bakal menghimpunkan lebih 300 pemilik dan peminat Honda Goldwing dari Malaysia, Indonesia, Thailand, China dan Singapura.

“Konvoi WCR Promo Tour merupakan acara tahunan Goldwing Motor Club yang diberi mandat untuk mengkoordinasi perhimpunan Wingers seluruh Asia di bawah jenama WCR,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

939
Kongsi :
Previous post MELAKA SIASAT DAKWAAN BAYI DEMAM PANAS DIBIAR 11 JAM
Next post ISU AIR, KEMUDAHAN AWAM ANTARA FOKUS WRUR LENDU, SUNGAI UDANG