
‘RIVERSIDE FUNWALK’ PROMOSI PELANCONGAN DESA TANJUNG BIDARA
AYER KEROH 13 Mei – Menempuh laluan dengan pemandangan kehijauan desa di Tanjung Bidara menjadi antara tarikan program Riverside Funwalk 5KM @ Tanjung Bidara yang dijadual berlangsung pada 1 Jun ini.
Setiausaha Japerun Tanjung Bidara, Ahmad Warid Ismail berkata, acara berkonsepkan kekeluargaan dan pelancongan desa itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti santai.
“Lebih menarik, peserta berpeluang memenangi cabutan bertuah bernilai keseluruhan RM7,000, termasuk hadiah utama berupa wang tunai RM1,000 bagi memeriahkan acara.
“Penyertaan sangat menggalakkan dan kita berharap sasaran 1,000 peserta dapat dicapai sebelum tarikh tutup pada 25 Mei (Sabtu) depan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Warid berkata, selain larian santai menelusuri laluan berpanorama sungai dan perkampungan tradisional, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan.
Antaranya ialah pertandingan aerobik, memancing, memasak, dam aji, karom, dan Mobile Legends, selain perkhidmatan tukar minyak hitam dan gunting rambut percuma.
“Objektif utama program ini adalah untuk memperkenalkan kawasan menarik sekitar Tanjung Bidara khususnya kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
“Ramai hanya mengenali Pantai Tanjung Bidara, sedangkan kampung-kampung di sini juga mempunyai daya tarikan tersendiri dari sudut budaya dan suasana semula jadi,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang berminat masih boleh mendaftar sebelum penyertaan ditutup.
“Acara ini terbuka kepada semua dan dijangka menjadi antara program komuniti terbesar di Tanjung Bidara tahun ini.
“Pelepasan acara akan diadakan kira-kira jam 7.30 pagi di Villa D’Acqua, Kampung Pulau,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.