
‘DOOR TO DOOR DENGUE WALK’ USAHA SERIUS MBMB PERANGI DENGGI
AYER MOLEK 13 Mei – Usaha bersepadu membanteras wabak denggi diteruskan menerusi Program ‘Door to Door Dengue Walk’ yang diadakan di Rumah Awam, Ayer Molek, baru-baru ini.
Program anjuran Jabatan Pelesenan dan Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu turut melibatkan Unit Penyakit Bawaan Vektor, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, program itu bertujuan memberi kesedaran dan pendidikan kesihatan kepada penduduk mengenai bahaya nyamuk Aedes serta langkah pencegahan demam denggi.
“Usaha ini penting bagi memastikan komuniti setempat faham peranan mereka dalam menjaga kebersihan dan mencegah pembiakan nyamuk.
“Sebanyak 50 rumah telah dilawati dan diberi penerangan serta teguran membina agar penduduk bersama-sama memusnahkan tempat berpotensi pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan luar rumah.
“Penyertaan aktif komuniti adalah kunci utama untuk mengawal penularan denggi yang semakin membimbangkan,” katanya.
Program tersebut turut disertai anggota Jabatan Landskap dan Pengindahan Bandaraya MBMB serta SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) Melaka.
Selain edaran risalah dan pemeriksaan premis, turut diadakan pameran kesihatan berkaitan nyamuk dan serangga pembawa penyakit sebagai bahan pendidikan kepada penduduk.
Dalam pada itu, Shadan turut menyeru agar komuniti terus proaktif dalam memastikan kebersihan kediaman masing-masing demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan bersama.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.