
JKKN MELAKA ANGKAT BUDAYA REWANG
AYER KEROH 13 Mei – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka mahu menghidupkan kembali budaya gotong-royong dalam kalangan komuniti menerusi Program Rewang Sekampung sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025).
Mengulas lanjut berhubung perancangan itu, Pengarah JKKN Melaka Ezlina Elias berkata, program tersebut dijadualkan dilangsungkan di dua buah kampung di negeri ini pada Julai depan.
Menurutnya, setakat ini program itu akan dicadangkan untuk diadakan di Kampung Pengkalan Renggam, Ayer Molek, sementara itu lokasi kedua penganjuran pula masih lagi dalam penelitian pihaknya.
“Antara pengisian program ini adalah menghidupkan semula budaya rewang iaitu gotong-royong dalam kalangan penduduk kampung dalam menjayakan sesebuah majlis. Kampung dipilih ini juga akan menjadi lokasi kepada Festival Gasing anjuran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dengan penyertaan daripada pelbagai negara.
“Jadi kita ambil peluang dan ruang untuk menyemarakkan lagi program terbabit dengan pelbagai pengisian seperti konsert rakyat dan menyerlahkan makanan-makanan tradisi yang kita. Semua ini juga bertujuan untuk meraikan peserta termasuk dari luar negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Podcast Mana Lagi? Melaka Ler! di Studio Melaka TV, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ezlina berkata pihaknya sedang menyusun agenda program terbabit bagi memastikan ia mencapai objektif iaitu menyerlahkan budaya yang ada di Negeri Melaka.
“Melaka ada pelbagai budaya dan warisan seperti makanan, pakaian dan pergaulan dalam komuniti seperti budaya rewang itu sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.