
NASI LEMAK CARA MELAKA BAKAL GAMIT PELANCONG
AYER KEROH 14 Mei – Nasi lemak beridentitikan Melaka sebagai menu utama untuk bersarapan, akan dipromosikan dalam usaha berterusan untuk menggamit lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Berkongsi perancangan itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias berkata, sedar atau tidak nasi lemak yang juga hidangan pagi kegemaran rakyat Malaysia, diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Dunia.
Mengulas lanjut Ezlina berkata, nasi lemak Melaka memiliki keistimewaan dan ciri-ciri tersendiri dengan aksesori yang menarik iaitu kacang goreng, telur rebus dan goreng, sambal pedas manis, ikan bilis rangup serta kangkung sebagai pelengkap hidangan.
“Kombinasi ini menjadikan rasa nasi lemak Melaka yang ada di Negeri Melaka lebih unik jika dibandingkan hidangan sama ditawarkan di tempat lain.
“Pengiktirafan diberikan UNESCO secara tidak langsung membuka ruang bagi kita menambah baik kualiti dengan mewujudkan atau memperkenalkan standard bagi sajian nasi lemak Melaka. Ciri-ciri itu nanti akan membezakan membezakan nasi lemak Melaka dengan yang lain, persembahan kita lebih menarik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika sesi Podcast Mana Lagi? Melaka Ler! di Studio Melaka TV, di sini, semalam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.