Sorting by

×

MELAKA MOHON BINA 10 NADI BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KESIDANG 13 Mei – Kerajaan Negeri sudah memohon kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mewujudkan 10 buah lagi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang baharu, kata Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, kemudahan itu dirancang untuk dibina di beberapa lokasi sekitar Melaka, susulan sambutan menggalakkan yang diterima bukan sahaja dalam kalangam wakil rakyat tetapi juga komuniti setempat.

Katanya, setakat ini sebanyak 38 NADI beroperasi seluruh Melaka, sementara itu sebuah lagi kemudahan sama di Banda Hilir, kini sedang dalam peringkat pelaksanaan dijadualkan siap hujung bulan ini.

“Semakin ramai yang berminat terhadap inisiatif ini, saya didatangi wakil rakyat yang memohon agar NADI diwujudkan dalam kawasan mereka. Kita akan berbincang dan mendahulukan kawasan benar-benar memerlukan kemudahan ini.

“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka mempunyai sekurang-kurangnya satu NADI, tetapi di sesetengah DUN ada dua kemudahan ini. Sementara itu berdasarkan taburan daerah Alor Gajah merekodkan jumlah paling tinggi dengan 15 NADI, diikuti Melaka Tengah sebanyak 13 dan 11 di lagi Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian NADI Kampung Padang, Pokok Mangga, yang disempurnakan Adun Kesidang, merangkap Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin di Kampung Padang, di sini, hari ini.

Menurut Fairul Nizam, setiap NADI kini mempunyai lima kluster utama iaitu keusahawanan, program sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan.

“NADI kini bukan hanya tempat untuk akses internet tetapi tempat rakyat belajar, jana pendapatan dan mendapatkan maklumat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

276
Kongsi :
Previous post PASANGAN SUAMI ISTERI MENGAKU TIDAK SALAH SEBABKAN BAYI CEDERA PARAH
Next post JKKN MELAKA ANGKAT BUDAYA REWANG