Sorting by

×

30,000 DIJANGKA MERIAHKAN SAMBUTAN HARI TVET NEGARA 2025

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 14 Mei – Seramai 30,000 pengunjung disasarkan akan hadir bagi memeriahkan Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, dari 11 hingga 13 Jun depan.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidirah Abu Zahar berkata, pihaknya sedang melaksanakan persiapan bagi penganjuran hari sambutan itu dengan kerjasama Majlis TVET Negeri dan Majlis TVET Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Sebagai tuan rumah sambutan tahun ini, kita di Melaka dengan berbesar hati mempelawa semua termasuk mereka dari dari Johor, Negeri Sembilan dan wilayah Selatan secara keseluruhannya.

“Penganjuran ini menjadi platform mempromosikan TVET kepada masyarakat, kerana pengunjung yang datang boleh melihat sendiri ekosistem TVET di Malaysia secara menyeluruh,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program HR Insight 2025: Transformasi Tenaga Kerja & Gaji Dalam Industri Pembuatan di Bilik Tun Fatimah Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad Datuk Ginie Lim Siew Lin dan wakil-wakil pemain industri.

Khaidhirah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim berkata, penyertaan melibatkan 12 kementerian yang antaranya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selain lebih 50 institusi latihan serta agensi berkaitan TVET.

Menurut Khaidhirah, sambutan berkenaan turut melibatkan Majlis TVET Negeri Melaka bersama rakan strategik dari empat komponen utama seperti institusi, industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.

“Pelbagai aktiviti diadakan seperti seminar, bengkel dan forum kerjaya, pertandingan teknikal dan inovasi antara institusi TVET, sesi libat urus bersama industri dan agensi kerajaan, pendaftaran terbuka program TVET tanpa had umur dan peluang ‘upskilling dan reskilling’ untuk pekerja.

“Selain itu institusi TVET swasta negeri seperti Melaka International College of Science and Technology (MiCoST) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian dan Keusahawan Melaka (MISDEC) juga dijangka memainkan peranan dalam menjayakan pameran dan sesi interaktif sepanjang program.

“Saya mempelawa orang ramai khususnya anak-anak muda untuk hadir dan melihat sendiri potensi besar yang ditawarkan oleh bidang TVET kerana bidang ini tidak mengira umur, latar belakang atau pengalaman,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

567
Kongsi :
Previous post TRANSFORMASI PENGURUSAN SUMBER MANUSIA PACU SEKTOR PERINDUSTRIAN MELAKA
Next post OKU PEKAK DAN BISU SERTAI KURSUS PRA PERKAHWINAN