
SEMAKIN RAMAI PELAJAR TUNGGANG MOTOSIKAL TANPA LESEN, CUKAI JALAN
LENDU 22 Mei – Menunggang motosikal tanpa lesen dan cukai jalan menjadi antara kesalahan utama yang dikesan membabitkan pelajar sekolah di negeri ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, perkara itu dilihat semakin membimbangkan memandangkan anak-anak ini bukan sahaja melanggar undang-undang ditetapkan, malah terdedah dengan risiko kemalangan dan bahaya.
Oleh sebab itu, menurut beliau, bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka dan Japerun Lendu telah menganjurkan Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Pemeriksaan Motosikal bagi memberi kesedaran awal tentang kepentingan keselamatan di jalan raya.
Jelas beliau, menerusi program yang dianjurkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin, Masjid Tanah, sebanyak 46 motosikal pelajar telah diperiksa dan hasilnya sebanyak 13 kesalahan utama, 19 kesalahan teknikal dan 15 kesalahan lain dikesan.
“Antara kesalahan yang paling membimbangkan adalah motosikal tanpa cukai jalan, tidak mengikut spesifikasi, dan pelajar yang menunggang tanpa lesen memandu yang sah.
“Ini bukan perkara kecil kerana lesen memandu dan cukai jalan adalah keperluan asas. Tanpa ini, pelajar bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mendedahkan diri kepada risiko kemalangan maut,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop.
Hameed berkata, mengikut statistik yang dikongsi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, sebanyak 18 kemalangan dengan lima kematian melibatkan pelajar sekolah telah direkodkan sepanjang tahun lalu.
“Bagi tahun ini sahaja, sehingga April, seramai tujuh pelajar sekolah telah terlibat dalam kemalangan dan empat daripadanya maut.
“Isu ini bukan sekadar terletak di bahu pelajar, malah memerlukan perhatian serius daripada ibu bapa. Ada yang hanya menyediakan wang pendahuluan untuk membeli motosikal, tetapi tidak memastikan lesen dan cukai jalan disediakan.
“Akhirnya anak-anak terpaksa menanggung bayaran bulanan sendiri, bekerja waktu malam demi melunaskan hutang motosikal sehingga pelajaran terabai. Ini perlu diperbetulkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa MKJR akan memperluaskan pelaksanaan program advokasi tersebut ke seluruh sekolah dalam Negeri Melaka.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif menurunkan kadar kemalangan melibatkan pelajar sekolah, selari dengan agenda keselamatan jalan raya peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.