
OP BERSEPADU: MPJ KELUAR 15 KOMPAUN PELBAGAI KESALAHAN
JASIN 24 Mei – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengeluarkan 15 kompaun atas pelbagai kesalahan terhadap lapan premis yang diperiksa menerusi satu operasi bersepadu baru-baru ini.
Setiausaha MPJ, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, bertindak atas aduan orang awam, operasi bersepadu terbabit telah dilaksanakan sekitar Bandar Jasin dan Bandar Botani Parkland.
Katanya, operasi bersepadu itu turut membabitkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Pejabat Kesihatan Daerah Jasin (PKDJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“MPJ telah mengeluarkan 15 kompaun atas kesalahan seperti premis tidak pamer lesen perniagaan, tiada permit kerusi meja, tiada dan tidak selenggara perangkap minyak.
“Sementara itu, PKDJ mengeluarkan tujuh kompaun susulan individu bekerja di premis makanan tiada suntikan, tidak memakai apron dan pelbagai lagi.
“Manakala JIM pula menahan 14 pekerja warga asing selepas didapati gagal mengemukakan passport,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Zahiruddin berkata, antara premis yang dijalankan operasi melibatkan kedai makan, pasar mini dan kedai menjual pakaian.
“MPJ turut mengeluarkan notis nasihat kepada peniaga sekitar dan pemilik premis agar menjalankan perniagaan secara sah serta berlesen. Kita juga mengingatkan pengusaha premis ini agar sentiasa mematuhi syarat lesen dan mengutamakan kebersihan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.