
MELAKA JADI LOKASI ACARA KEMUNCAK KJOM 2025
BANDARAYA MELAKA 3 Jun- Melaka akan menjadi lokasi kemuncak acara Kembara Jumpa Orang Muda (KJOM) 2025 anjuran Kementerian Belia dan Sukan yang dijadualkan hujung nanti.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, berbeza sasaran dengan KJOM 2024, tahun 2025 lebih menyasarkan golongan belia luar bandar.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya ini berkata, Pahang dipilih sebagai lokasi permulaan KJOM 2025 yang dijadualkan pada Julai depan.
“KJOM 2025 konsep dan formatnya berbeza, lebih menumpukan kepada Zon Selatan, Zon Tengah dan Zon Borneo.
“Golongan sasaran juga berbeza, pada KJOM 2025 ini tumpuannya kepada golongan anak muda di kawasan luar bandar yang mana kita mahu ketengahkan inspirasi, potensi dan cabaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis VVIP Day sebuah pusat beli-belah peralatan sukan dan rekreasi, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata antara objektif KJOM 2025 adalah untuk menjalinkan hubungan lebih mesra bersama golongan sasar iaitu orang muda di luar bandar.
Jelasnya, KJOM juga dijadikan medium mendengar permintaan golongan belia luar bandar dalam usaha memperkasa kumpulan terbabit.
“KJOM 2025 ini kita bukan sahaja ketengahkan kisah anak muda yang menjadi inspirasi, ia juga akan dijadikan medium atau medan menyuarakan apa yang mereka mahu.
“Sudah tentu cabaran di luar bandar berbeza dengan cabaran di bandar, jadi kita mahu mereka menyuarakan pendapat dan kemahuan di situ. Ia jadi satu saluran buat golongan sasar ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.