Sorting by

×

DUA PROJEK ATASI HAKISAN PANTAI DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PAYA RUMPUT 7 Jun – Projek tambakan pasir dan pembinaan benteng pemecah ombak bagi menangani hakisan di dua pantai peranginan dalam Negeri Melaka dijangka siap mengikut tempoh masa ditetapkan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, dua lokasi terlibat adalah Pantai Pengkalan Balak dan Pantai Puteri, di mana projek itu telah pun bermula pada tahun ini.

Berkongsi perkembangan semasa projek mengawal hakisan itu, Rais berkata, ia telah berjalan mengikut perancangan ditetapkan dan tidak berdepan sebarang masalah.

Meskipun begitu, beliau berharap kontraktor yang dilantik dapat memastikan projek berkenaan tidak tertangguh kerana dikhuatiri perubahan cuaca akan memberi kesan kepada perancangan keseluruhan tambakan tersebut.

“Jadi, saya harap mereka (kontraktor) boleh menyelesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang masalah seperti faktor musim hujan dan sebagainya.

“Namun, setakat ini saya dimaklumkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa projek ini mengikut jadual dan tidak berdepan sebarang isu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Simbolik Penyerahan Haiwan Korban sempena Hari Raya Aidiladha 1446H / 2025M di Kompleks Japerun Paya Rumput, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta lain-lain kenamaan.

Sebelum ini, JPS Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, projek pegawalan hakisan Pantai Pengkalan Balak telah dimulakan tahun ini membabitkan kawasan kawasan Sungai Ayer Hitam dan Sungai Tuang.

Antara skop kerja yang dilaksanakan adalah Penyuburan Pantai (Beach Nourishment); Pemanjangan Terminal Groynes; Pembinaan Struktur Pemecah Ombak @ ‘Offshore Breakwater’; menaik taraf ‘Outfall’ sedia ada; Pengorekan Muara dan landskap.

Jelas kenyataan tersebut, projek berkenaan dijangka dapat mengurangkan masalah hakisan pantai yang dianggarkan hampir satu meter setahun susulan ribut yang berlaku pada 2018, 2019 dan 2024.

Sementara itu, projek menangani hakisan di Pantai Puteri pula melibatkan kos dianggarkan berjumlah RM20 juta yang telah diluluskan Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA).

Ia bakal membabitkan skop kerja membina benteng penahan ombak dan tambakan pasir dan dijangka siap pada 2027.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

869
Kongsi :
Previous post TYT BERSAMA RIBUAN UMAT ISLAM TUNAI SOLAT SUNAT AIDILADHA DI MASJID NEGERI
Next post AB RAUF ‘PUSING’ TANJUNG BIDARA SANTUNI PETUGAS KORBAN