
JELAJAH BAITULMAL MEDIUM MAIM SANTUNI KOMUNITI
BEMBAN 26 Jun – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) komited untuk melaksanakan Jelajah Baitulmal pada setiap siri penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang akan datang.
Pegawai Bahagian Wakaf dan MAL MAIM, Norazam Ismail berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana dipelawa untuk bersama-sama memeriahkan siri kelima WRUR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.
Katanya, penganjuran Jelajah Baitulmal memenuhkan pengisian rohani melalui pendekatan pendidikan agama dan pemerkasaan komuniti setempat.
“Alhamdulillah, MAIM menyambut baik pelawaan untuk menyertai WRUR di DUN Bemban. Bahagian Wakaf dan MAL melaksanakan gerakan Jelajah Baitulmal melibatkan sembilan masjid dan tujuh surau dalam DUN ini.
“Antara pengisian utama ialah kuliah Dhuha dikhususkan untuk golongan wanita pada sebelah pagi, disusuli kuliah Maghrib melibatkan penyertaan jemaah lelaki dan wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Perdana sempena Program Jelajah Baitulmal MAIM di Masjid Saidina Osman, Felda Tun Ghaffar Ayer Kangkong, di sini, semalam.
Tambahnya, sambutan daripada kariah masjid amat menggalakkan dengan kehadiran mencecah hampir 40 orang wanita bagi sesi pagi.
“Ini merupakan masjid kedua yang kita lawati selepas Masjid An Nur Taman Maju. Alhamdulillah, kerjasama yang diberikan oleh pihak masjid dan jemaah sangat baik dan memberi semangat kepada pasukan kami untuk terus menjayakan program ini,” katanya.
Mengulas pelaksanaan Jelajah Baitulmal di DUN lain selepas ini, Norazam berkata ia tertakluk kepada keperluan dan permintaan daripada penyelaras kawasan masing-masing.
“Kalau DUN minta program berskala kecil seperti ini, kita akan teruskan. Jika ada permintaan untuk program berskala besar, MAIM akan cuba penuhi dengan sumber yang ada.
“MAIM sentiasa mengalu-alukan kerjasama untuk menjayakan jelajah seperti ini dan kita memang ada pasukan sendiri yang bersedia untuk turun padang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.