
PERTANDINGAN ROBOTIK PERKASA BUDAYA SAINS, TEKNOLOGI
REMBIA 26 Jun – National Robotic Challenge (NRC) 2025 terus menjadi medan penting bagi mencungkil bakat muda dalam bidang robotik dan automasi, seiring usaha Melaka ke arah negeri pintar menjelang 2035.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, pertandingan seperti ini sangat penting menyuburkan budaya sains dan teknologi dalam kalangan murid serta pelajar.
“Bukan sahaja memupuk minat dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), malah membentuk daya saing serta semangat berpasukan peserta.
“Saya difahamkan penyertaan tahun ini sangat memberangsangkan, dengan lebih 300 peserta pelbagai peringkat usia dan latar belakang mengambil bahagian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup NRC 2025 di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah, semalam.
Turut hadir, Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini.
Mohd Noor Helmy turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, guru pembimbing, ibu bapa serta rakan strategik seperti Sasbadi, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Pusat Kolaborasi RICE@UTeM-Melaka yang berganding bahu menjayakan penganjuran kali ini.
“Saya juga difahamkan bahawa pemenang NRC ini akan mewakili Melaka ke pertandingan peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung November nanti,” katanya.
Katanya, Kerajaan Negeri akan terus menyokong penuh agenda pendigitalan dan pembangunan bakat muda dalam teknologi, selaras dengan visi negeri pintar.
“Sebagai negeri yang komited dalam agenda pendigitalan dan pembangunan bandar pintar, Melaka melihat bakat bidang robotik ini sebagai aset masa depan.
“Saya berharap peserta yang menyertai pertandingan menjadikan pengalaman ini sebagai pemangkin untuk meneroka bidang STEM secara lebih mendalam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.