
18TH ROBOWORLD CUP 2025 PERKASA EKOSISTEM ROBOTIK NEGARA
MERLIMAU 26 Jun – Seramai 1,000 peserta mewakili 439 pasukan mengambil bahagian pada Kejohanan 18th Malaysia Federation of International Robot Sport Associastion (FIRA) Roboworld Cup 2025 yang diadakan selama enam hari bermula 21 Jun lalu hingga hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, selain wakil politeknik dan sekolah seluruh negara, penganjuran kejohanan bertahap antarabangsa itu turut disertai pasukan luar negara seperti Indonesia, Korea Selatan, China, Bangladesh, India serta Sudan.
Katanya, kejohanan tersebut menjadi platform strategik bagi memperkukuhkan ekosistem robotik negara, seterusnya memperkasa kemahiran teknikal, mengadun elemen inovasi, nilai tambah dan keupayaan untuk mencipta solusi.
“Kementerian Pendidikan Tinggi memberi perhatian serius terhadap pengintegrasian teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja dalam kandungan kurikulum, tetapi merentas pelbagai program dan aktiviti pembangunan pelajar. Kejohanan FIRA ini menterjemahkan ilmu dipelajari dalam bilik kuliah kepada praktikal menerusi inovasi berasaskan penyelesaian masalah.
“Platform seumpama ini memainkan peranan penting ke arah matlamat memacu perubahan radikal dan terkini dalam mendepani cabaran global,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup 18th Malaysia FIRA Roboworld Cup 2025 di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata kejohanan itu merupakan pencetus kepada lebih banyak kejayaan anak muda di peringkat global, selaras aspirasi Malaysia sebagai hab teknologi dan inovasi masa depan.
“Kementerian beriltizam untuk terus menyokong agenda pemerkasaan politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) selain Pendidikan dan Latihan Teknikal (TVET). Kita yakin penganjuran kejohanan itu akan menjadi pencetus kepada lebih banyak kejayaan anak muda kita di peringkat global, selaras aspirasi Malaysia sebagai hab teknologi dan hab masa depan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.