Sorting by

×

KPT SERAH SIASATAN PROTES MAHASISWA UMS KEPADA PIHAK BERKUASA

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

MERLIMAU 26 Jun – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) membakar karikatur menyerupai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata tindakan susulan akan diambil, namun pihaknya menunggu hasil keputusan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kita serahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa untuk menyiasat, KPT akan mengambil tindakan selepas hasil siasatan penuh selesai.

“Bagi kami di Sabah, ini kali pertama berlaku, sebagai pimpinan belia dan seseorang mengikuti perjuangan anak muda saya anggap isu ini sebagai detik hitam yang tidak wajar berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kejohanan 18th Malaysia FIRA Roboworld Cup 2025 di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata rakyat Sabah secara umumnya mengamalkan budaya menyuarakan pendapat secara aman dan harmoni, selari dengan nilai perpaduan yang menjadi pegangan masyarakat negeri itu.

“Kita tidak mahu budaya luar yang tidak mencerminkan identiti kita ini menjejaskan reputasi anak muda Sabah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

336
Kongsi :
Previous post 18TH ROBOWORLD CUP 2025 PERKASA EKOSISTEM ROBOTIK NEGARA
Next post POLIS TUMPASKAN GENG YOE GOMEN, AKTIF SAMUN SEKOLAH DAN PEJABAT KERAJAAN