
JAMBU BATU, NANAS MD2 PERCUMA BUAT PENGUNJUNG HARI PERTAMA MELAKA AGROFEST 2025
AYER KEROH 26 Jun – Sebanyak 4,000 biji jambu batu dan nanas MD2 akan diagihkan secara percuma kepada pengunjung hari pertama Melaka Agrofest 2025 di Dataran Sejarah Ayer Keroh yang membuka tirainya esok.
Wakil Urusetia Induk program berkata, penganjuran bagi tahun ini melibatkan lebih 100 khemah pameran daripada agensi kerajaan, nurseri, produk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), kraftangan dan jualan makanan serta minuman.
“Hari pertama penganjuran akan bermula pada jam 10 pagi dengan pelbagai pengisian menarik termasuk pertandingan congkak yang menawarkan hadiah wang tunai RM600.
“Selain itu, sebanyak 4,000 biji buah jambu akan diagihkan kepada pengunjung pada jam 3 petang secara percuma dan dijadualkan akan ada juga agihan nanas MD2,” katanya ketika ditemui di tapak penganjuran Melaka Agrofest 2025, hari ini.
Menurutnya, pengunjung bertuah yang hadir pada Malam Demi Cinta Suci, pada sebelah malam pula berpeluang memenangi cabutan bertuah menawarkan pakej umrah.
“Pada sebelah malam pula akan berlangsungnya persembahan kumpulan nasyid UNIC yang mana akan diadakan cabutan bertuah yang menawarkan pakej umrah.
“Kami amat mengalu-alukan orang ramai khususnya rakyat Melaka untuk hadir beramai-ramai bagi memeriahkan penganjuran Melaka Agrofest 2025,” katanya.
Jelasnya, persiapan kini giat dijalankan oleh 40 agensi terlibat termasuk perniaga dan pempamer yang mengambil bahagian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.