
37 CALON STPM MELAKA PEROLEH PNGK 4.0
BUKIT BARU 27 Jun – Seramai 37 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 Negeri Melaka berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.
Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor berkata, STPM 2024 melibatkan seramai 1,149 calon dan daripada jumlah itu 1,112 hadir menduduki peperiksaan di 17 pusat peperiksaan di negeri ini.
Katanya, Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Negeri Melaka bagi STPM 2024 adalah 2.88 mata, meningkat sebanyak 0.07 berbanding 2.81 tahun sebelumnya.
“Selari dengan itu, Melaka mencatatkan seramai 37 orang calon yang memperoleh keputusan cemerlang dengan mendapat PNGK 4.0. Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 14 calon berbanding STPM 2023.
“Manakala seramai 526 calon STPM 2024 yang mendapat PNGK 3.0 keatas berbanding hanya 445 pada tahun sebelum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi STPM 2024 Peringkat Negeri Melaka, di Dewan Bestari, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Bukit Baru, semalam.
Menurut Mahfudzah, peratus lulus penuh untuk STPM 2024 adalah 99.64 peratus dan bilangan calon layak sijil adalah seramai 1,108 orang.
“Malah dua calon STPM 2024 turut mengharumkan nama Melaka apabila meraih Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan dan Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan dalam subjek Sejarah.
“Secara keseluruhan keputusan STPM 2024 Melaka menunjukkan peningkatan membanggakan berbanding tahun-tahun sebelum.
“Tahniah juga diucapkan kepada seluruh warga pendidik yang terlibat, selain komitmen tinggi ditunjukkan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Pejabat Pendidikan Daerah serta pentadbir sekolah, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah mendorong kejayaan anak didik di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.