Sorting by

×

MELAKA TUAN RUMAH HARI KOPERASI NEGARA 2025

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BANDARAYA MELAKA 27 Jun – Melaka sekali lagi dipilih lokasi penganjuran acara peringkat kebangsaan apabila bakal menjadi tuan rumah Hari Koperasi Negara (HKN) 2025.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, HKN 2025 akan berlangsung pada 25 hingga 27 Julai ini bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Jelasnya, sepanjang tiga hari berlangsung, program tahunan anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu dijangka mampu menarik lebih 10,000 pengunjung daripada pelbagai pengisian menarik yang disediakan.

“Pelbagai program dan aktiviti telah disusun sempena HKN ini kerana ia melibatkan penyertaan koperasi seluruh negara, di mana kita akan turut membawakan pelbagai produk menarik dan pameran khas.

“Kita jangkakan tahun ini akan berlangsung lebih meriah memandangkan Melaka turut dipilih menjadi tuan rumah acara bertaraf dunia iaitu Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) yang mampu menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

“Kemuncak HKN 2025 dijangka akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Semarak Konsumerisme Bersama Pengamal Media Melaka 2025 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Melaka Dr. Mohd Hazimin Jamaludin.

Mengulas mengenai makan malam tersebut, Allex menyifatkan ia sebagai satu jambatan menghubung serta mengeratkan hubungan di antara KPDN Negeri Melaka bersama pengamal media yang merupakan watak penting dalam setiap pelaporan berita.

Katanya, media-media rasmi wajar didampingi setiap agensi dan jabatan kerajaan dalam usaha untuk menyampaikan segala dasar dan maklumat secara terus kepada rakyat di luar sana, selain menangkis penularan berita-berita palsu.

“Peranan media ini cukup penting dalam era teknologi masa kini, di mana selain kita menghebahkan maklumat dasar atau kejayaan, pada masa sama, laporan itu juga dapat menepis segala khabar angin atau maklumat palsu yang bertebaran di pelbagai platform digital masa kini.

“Jadi, kita berharap, program seperti ini dapat memperkukuh kerjasama di antara media dan KPDN Melaka, selain ia menjadi satu malam yang boleh dikenang kita semua,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

662
Kongsi :
Previous post GIAT PACU EKONOMI ISLAM, AZMAR DIANGKAT TOKOH MAAL HIJRAH MELAKA
Next post LAPAN BAYI MAAL HIJRAH DILAHIRKAN DI HOSPITAL MELAKA