
MELAKA ANJUR 500 JUALAN RAHMAH SETAKAT JANUARI HINGGA JUN 2025
BANDARAYA MELAKA 27 Jun – Lebih 500 program Jualan Rahmah telah dianjurkan di Negeri Melaka sepanjang Januari hingga Jun tahun ini bagi membantu rakyat membeli pelbagai barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding di pasaran.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, program yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus ke atas pelbagai barangan itu telah diadakan di segenap pelusuk negeri pada setiap bulan bagi memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Selain penganjuran di lokasi terpilih, beliau memaklumkan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akan menganjurkan dua Jualan Rahmah Bergerak pada setiap bulan, selain di pasar raya terpilih seluruh Negeri Melaka
Malah, jelas beliau, melihat kepada manfaatnya yang cukup besar kepada rakyat, program itu turut diadakan khas pada program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang akan menjelajah ke 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
“Sasaran kita sepanjang tahun ini adalah menganjurkan lebih 1,000 Jualan Rahmah di pelbagai lokasi dalam Negeri Melaka bagi membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaatnya.
“Segala maklumat mengenai Jualan Rahmah ini boleh didapati daripada laman sosial rasmi KPDN Melaka yang akan kita umumkan lebih awal pada setiap bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Semarak Konsumerisme Bersama Pengamal Media Melaka 2025 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengarah KPDN Negeri Melaka Dr. Mohd Hazimin Jamaludin.
Menurut Allex, sepanjang tahun lalu, kerajaan telah mempruntukkan subsidi berjumlah RM20 bilion bagi penganjuran Jualan Rahmah di seluruh negara dan jumlah itu meningkat kepada RM30 bilion untuk sepanjang tahun ini.
“Oleh sebab itu, di Negeri Melaka, kita akan melakukan yang terbaik supaya lebih ramai rakyat, khususnya golongan B40 mendapat manfaat daripada penganjuran Jualan Rahmah ini,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.