Sorting by

×

HARI PERTAMA MELAKA AGROFEST 2025 ‘DISERBU’

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 27 Jun – Cuaca panas tidak menghalang orang ramai khususnya rakyat Melaka memeriahkan hari pertama Melaka Agrofest 2025 yang berlangsung di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Bermula jam 10 pagi, pengunjung mula hadir dan melihat gerai-gerai jualan yang ada menjual bukan sahaja pelbagai jenis tanaman tetapi juga produk-produk makanan keluaran usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Khemah pameran milik agensi turut menjadi perhatian pengunjung antara dari Jabatan Perikanan yang bukan sahaja membawa ikan keli Africa dan beberapa jenis spesies ikan lain tetapi juga penyu selain turut mencuri perhatian empat ekor lembu sado yang dibawakan khas.

Img 20250627 151854 651
SITI Rubidah menunjukkan orkid yang dijualnya pada Melaka Agrofest 2025. Foto Afiq Mustaffa

Bagi usahawan Melaka Agrofest 2025, Siti Rubidah Mukiban dari Batu Pahat, Johor, berkata, meskipun baru hari pertama berlangsung sambutan daripada pengunjung amat menggalakkan apabila pada sebelah pagi orang ramai sudah memenuhi kawasan dataran.

“Boleh katakan setiap tahun saya akan turut serta malah ini tahun kelima saya mengambil bahagian di Melaka dan boleh katakan sambutan di sini tidak mengecewakan.

“Daripada pemerhatian, saya lihat walaupun baru hari pertama pengunjung sudah ramai malah orkid saya juga ada yang sudah terjual.

“Untuk tiga hari ini antara orkid yang dibawa dan menjadi rebutan peminat orkid adalah spesis Orkid Mokara, Orkid Dendrobium serta Mimi Palmer,” katanya yang juga pemilik Anna Nursery.

Img 20250627 151755 621
HAMIDAH menunjukkan kuih bakar yang dijualnya. Foto Afiq Mustaffa

Bagi seorang lagi usahawan, Hamidah Ahmad berkata, ini adalah tahun ketiga dia turut serta memasarkan dan menjual kuih bakar miliknya di Melaka Agrofest .

“Lokasi penganjuran yang strategik membuatkan ramai pengunjung datang dan sambutan diterima amat baik, seperti yang dilihat sepanjang separuh hari ini sudah ramai yang datang.

“Program jualan seperti ini amat membantu usahawan IKS untuk pasarkan produk mereka sekali gus dapat membantu menjana pendapatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

687
Kongsi :
Previous post LAPAN BAYI MAAL HIJRAH DILAHIRKAN DI HOSPITAL MELAKA
Next post ANAK MELAKA PELAJAR TERBAIK SEJARAH STPM 2024