Sorting by

×

BUDAK 12 TAHUN MAUT, TUJUH CEDERA DALAM NAHAS DI KM189.1

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

JASIN 27 Jun – Seorang kanak-kanak perempuan maut, manakala tujuh ahli keluarganya cedera dalam nahas membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, di Kilometer 189.1, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa Iris Sofea Mohamed Siddiq Khan, 12, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas tercampak keluar daripada kenderaan sebelum dilanggar sebuah lagi kereta dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, siasatan awal mendapati, MPV yang dinaiki sembilan sekeluarga itu sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Singapura bagi menziarahi ahli keluarga yang sedang sakit.

Menurutnya, ketika di lokasi kejadian, tayar kanan sebelah depan MPV berkenaan dipercayai pecah menyebabkan ia hilang kawalan lalu melanggar besi pembahagi tengah lebuh raya.

“Akibat pelanggaran itu, seorang penumpang iaitu kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun telah tercampak keluar dan jatuh di laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Honda City.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat.

“Tujuh lagi penumpang MPV berusia 63 hingga 4 tahun turut mengalami kecederaan termasuk seorang daripadanya parah dan kini dirawat di Hospital Melaka, manakala pemandu MPV dan kereta Honda City pula tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, beliau menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati semasa memandu dan perlu mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain terjamin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1517
Kongsi :
Previous post ANAK MELAKA PELAJAR TERBAIK SEJARAH STPM 2024
Next post IKAN MATI DI SUNGAI MELAKA: KERAJAAN NEGERI AMBIL TINDAKAN SEGERA, SIASATAN SEDANG DIJALANKAN