Sorting by

×

HAMPIR BERHENTI BELAJAR, NUR UMAIRAH BANGKIT CAPAI PNGK 4.0 STPM 2024

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 28 Jun – Hampir membuat keputusan drastik berhenti belajar apabila diuji dengan masalah keluarga dan kemudiannya terbabit kemalangan, namun dugaan itu mampu dihadapi Nur Umairah Mohd Desa, 20.

Berkat kesabaran dan azam yang tinggi untuk berjaya akhirnya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin, Masjid Tanah, itu berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.

Katanya, perpindahannya ke Melaka dari Perlis juga memberi cabaran besar untuk dirinya apabila perlu menyesuaikan diri bukan sahaja dengan guru tetapi juga rakan seperjuangan.

“Sebelum peperiksaan akhir di semester dua tahun lalu saya terbabit kemalangan ketika pulang dari sekolah dan terpaksa cuti hampir sebulan kerana kecederaan agak teruk sehingga pelajaran terjejas.

“Atas sokongan dan motivasi daripada guru saya kemudian bangkit lalu menggunakan masa yang berbaki dua minggu sebelum peperiksaan akhir semester dua dengan belajar bersungguh-sungguh demi mendapatkan keputusan cemerlang.

“Sepanjang tempoh itu saya luangkan masa sepenuhnya untuk menelaah dan belajar, boleh katakan saya tidur hanya dua atau tiga jam sahaja. Alhamdulillah, akhirnya membuahkan kejayaan,” katanya.

Nur Umairah, yang kehilangan ibu sejak tingkatan tiga berkata, dia perlu belajar bersungguh-sungguh untuk menyambung pengajian ke universiti kerana itu sahaja dapat mengubah kehidupan dirinya kepada yang lebih baik.

“Untuk berjaya ia tidak datang dengan sendiri, jadi saya perlu kuatkan diri dan hadapi setiap ujian serta dugaan dalam hidup.

“Dengan pencapaian ini saya harap akan dapat menjejak kaki ke universiti sekali gus merealisasikan impian untuk menjadi seorang guru dan mendidik anak bangsa,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1261
Kongsi :
Previous post EKSPEDISI SAINTIFIK ‘TEROKA’ KHAZANAH BIODIVERSITI HUTAN MELAKA
Next post BISTARI TULANG BELAKANG NEGERI, PERKASA PERANAN WANITA MELAKA