Sorting by

×

BISTARI TULANG BELAKANG NEGERI, PERKASA PERANAN WANITA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERI BENDAHARA 28 Jun – Peranan aktif Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) dalam memperjuangkan kebajikan rakyat disifatkan sebagai tulang belakang memperkukuh kepimpinan Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, BISTARI menghubungkan kerajaan dengan rakyat melalui pelbagai program menyantuni masyarakat sekali gus membuktikan keprihatinan wanita-wanita di sebalik kepimpinan negeri.

“Secara peribadi, saya amat berbangga dapat bertemu dengan para isteri wakil rakyat Negeri Melaka yang bukan sahaja menjadi tulang belakang kepada kepimpinan, malah aktif memperjuangkan kebajikan rakyat dengan penuh dedikasi dan kasih sayang.

“BISTARI telah lama memainkan peranan penting sebagai jambatan kasih antara rakyat dan kerajaan.

“Ia dilaksanakan melalui pendekatan menyantuni, membantu serta menghulurkan tangan tanpa mengira latar belakang, BISTARI memperlihatkan wajah sebenar kepimpinan wanita di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung BISTARI Kali Ke-42 di Seri Bendahara, di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri merangkap Pengerusi BISTARI, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab. Aziz; Timbalan Pengerusi BISTARI, Datin Hartinee Ibrahim; Setiausaha BISTARI, Datin Ernie Aidilia Karim serta ahli-ahli BISTARI.

Menurut Ab Rauf, mesyuarat agung kali ini bukan sekadar memenuhi keperluan tahunan, bahkan menjadi medan perbincangan strategik dalam merencana masa depan lebih tersusun dan progresif untuk manfaat rakyat.

“BISTARI perlu memperluaskan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan lain-lain dalam menangani isu sosial seperti penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan tekanan emosi.

“Melalui kolaborasi pintar ini, BISTARI boleh menjadi pemacu kepada program berfokus seperti sesi kaunseling komuniti, bengkel kesedaran, kempen keluarga sejahtera dan latihan sokongan emosi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

534
Kongsi :
Previous post HAMPIR BERHENTI BELAJAR, NUR UMAIRAH BANGKIT CAPAI PNGK 4.0 STPM 2024
Next post TIKET ZOO MELAKA LEBIH JIMAT DI MELAKA AGROFEST 2025