
166 PROGRAM MERIAHKAN WRUR DUN DUYONG
BANDA HILIR 10 Julai – Sebanyak 166 program disusun sepanjang dua minggu berlangsungnya Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang akan bermula Ahad ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, program berkenaan sudah pasti akan memberi manfaat dan mengikut kesesuaian orang Duyong.
“Antara program disusun bermula Ahad ini hingga 26 Julai nanti adalah ziarah kasih, ceramah agama, mini karnival dan sukan rakyat termasuk saringan khas untuk anak istimewa secara percuma.
“Kepada orang muda DUN Duyong bercadang untuk mendirikan rumah tangga, pada 19 Julai kita anjurkan kursus perkahwinan percuma selama dua hari, tetapi terhad kepada 100 peserta terawal sahaja. Bagi aktiviti berbentuk kerohanian atau keagamaan pula kita bawa tujuh penceramah terkemuka ke DUN Duyong.
“Semua program ini kita susun mengikut kluster yang mana ia akan memudahkan masyarakat dan pengunjung untuk turut serta,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri berkata demikian ketika ditemui selepas bersiaran di Melaka FM, hari ini.
Menurut Mohd Noor Helmy, bagi penganjuran WRUR DUN Duyong, setakat ini pihaknya menerima sebanyak 74 aduan melibatkan permasalah seperti sampah dan perparitan.
“Separuh daripada aduan itu hampir selesai manakala bakinya dalam tindakan. Kita juga dalam proses mengenal pasti masalah-masalah mungkin selama ini pihak Japerun terlepas pandang atau tertinggal, kita cuba selesaikan dalam tempoh masa yang ada.
“Diharap dengan kehadiran semua Exco yang akan turun padang bersama-sama di WRUR DUN Duyong bukan sahaja dapat menyantuni rakyat tetapi membantu menyelesaikan sebarang masalah yang ada,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.