Sorting by

×

BINA EKOSISTEM PERTANIAN INKLUSIF, LESTARI DAN MENJAMIN KETERJAMINAN MAKANAN NEGERI

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat
AYER KEROH 25 Julai – Gabungan teknologi moden, kepakaran tempatan dan sinergi bersama penggiat industri, membantu Melaka dalam usaha membina ekosistem pertanian yang inklusif, lestari, sekali gus menjamin keterjaminan makanan negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara langkah dilaksanakan untuk meningkatkan tahap keterjaminan makanan negeri adalah memperluaskan tahap pengoperasian Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Menggong, Alor Gajah.
Mengulas lanjut Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung  Bidara berkata, TKPM Menggong seluas 62 hektar juga telah digazetkan sebagai tapak pengeluaran utama bagi tanaman bernilai tinggi.
“Kedua pelaksanaan sistem automasi pintar berasaskan Internet Kebendaan (IoT), melibatkan jumlah peruntukan RM89,000 yang memberi manfaat kepada enam pengusaha. Ketiga penggunaan teknologi dron pertanian secara meluas oleh pesawah, menjimatkan kos buruh kepada RM35 per ekar sawah berbanding kaedah konvensional.
“Keempat memperkenalkan Program Latihan Khas ‘Melon to Million’ dimana seramai 133 peserta menerima latihan intensif serta bimbingan teknikal dalam penanaman ‘rock melon’. Daripada jumlah ini, 33 individu terjejas akibat penyalahgunaan dadah turut menerima elaun bulanan sebanyak RM500 sebagai sokongan kepada proses pemulihan dan pemerkasaan melalui pertanian.
“Kelima, adalah Program Baka Ternakan Bersubsidi memberi manfaat kepada 80 penternak kecil sejak 2023, sebagai pemangkin transformasi ke arah penternakan semi-komersial,” kata Ketua Menteri ketika berucap menyempurnakan Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka.
Ab Rauf berkata, Melaka menjadi negeri pertama di Malaysia yang berjaya menghasilkan benih padi sah sendiri, sekali gus menyokong lebih 600 hektar sawah padi di Melaka.
Menurutnya, menerusi Bajet 2025 Negeri Melaka, memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi Program Pembangunan Tanah-tanah Sawah Terbiar secara Konsortium sebagai lanjutan kepada agenda pemulihan dan pembangunan sektor padi negeri.
Selain itu katanya, sebanyak 328 projek baharu melibatkan 435.7 hektar tanah terbiar telah diluluskan melalui Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan.
“Program ini menyasarkan peningkatan produktiviti tanah terbiar atau kurang dimanfaatkan, demi menjamin bekalan makanan negara kekal stabil dan berdaya maju untuk jangka masa panjang.
“Kerajaan Negeri sentiasa proaktif dalam mengambil inisiatif untuk membantu pemilik-pemilik tanah terbiar yang mempunyai kekangan serta diluar kemampuan melibatkan penglibatan langsung jabatan serta agensi Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam bentuk memberikan khidmat nasihat dan bantuan teknikal,” katanya.
Tambahnya lagi, sebagai pelengkap, sebuah ‘task force’ khas ditubuhkan bagi menyelaras tindakan rentas agensi secara inklusif dan berimpak tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

214
Kongsi :
Previous post MENCORAK HALA TUJU PEMBANGUNAN SEKTOR PERTANIAN MELAKA
Next post MELAKA MALL MERIAH DENGAN PELBAGAI PROMOSI JUALAN BESAR-BESARAN