
KOLAM PINTAR: IKAN DITERNAK BERKUALITI, TIADA RASA TANAH
REMBIA 23 Ogos – Pengalaman selama tiga dekad dalam bidang kejuruteraan dimanfaatkan Isa Ismail, untuk membangunkan sistem kolam ternakan ikan pintar yang dinamakan ‘Sustainable Modular Aquaculture System’ (SUMAS).
Katanya, SUMAS juga adalah selaras dengan impiannya untuk memodenkan dan menjadikan bidang akuakultur di Malaysia lebih efisien.
Berkongsi visinya, Isa berkata, SUMAS menggabungkan pengetahuan dalam bidang mekanikal, elektrikal, telekomunikasi, kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IOT), teknologi hijau dan tenaga solar.
Isa kini berusia 56 tahun berkata, idea untuk mencipta SUMAS tercetus apabila melihat kaedah penternakan akuakultur di Indonesia dan negara luar lain yang 15 ke 20 tahun lebih maju berbanding Malaysia.
“Hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilaksanakan maka terciptanya SUMAS yang menjimatkan banyak aspek seperti tapak dan tenaga manusia. Penggunaan air dan tapak kolam boleh dikurangkan sehingga 90 peratus berbanding penternakan menggunakan keadah konvensional atau menggali kolam.
“Tidak perlu kerap menggantikan air, tetapi mungkin perlu ditambah akibat faktor cuaca atau kerja-kerja pembersihan mendapan. Ini kerana kita turut memasukkan bakteria baik dalam kolam yang menjadi agen membantu mengawal kualiti air terutama amonia, jadi air tidak beracun ikan pula sihat.
“Pengurusan ternakan juga lebih cekap kerana setiap kolam dilengkapi sistem untuk mengesan kualiti air, jika ada pencemaran kami akan menerima amaran menerusi siren atau pemakluman melalui mesej di telefon pintar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, amalan ladang menerusi SUMAS juga menghasilkan ikan lebih berkualiti, tidak berbau lumpur atau tanah jika dibandingkan dengan keadah konvensional.
Menyentuh mengenai produk pula Isa berkata, syarikatnya kini menawarkan ikan tilapia dan keli sejuk beku yang sudah siap dibersihkan, sekali gus memudahkan pengguna.
“Bagi memastikan produk ini boleh bertahan bagi tempoh lebih enam bulan kami menggunakan teknologi ‘blast freezing’ iaitu proses membekukan ikan dalam tempoh kurang empat jam. Teknik ini memelihara rasa isi ikan dan kurang berbau meskipun disimpan lama.
“Inovasi ini adalah untuk memudahkan pengguna, malah kami turut menawarkan jualan secara dalam talian jika mahu masak lauk berasaskan ikan tidak perlu ke pasar atau kedai, kami akan hantar ke pintu rumah.
“Turut menjadi impian saya adalah untuk membekalkan produk yang berkualiti dan bersih. Malah kami juga sudah menerima pengiktirafan sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.