Sorting by

×

USAHA MELAKA ANGKAT KEHEBATAN PANGLIMA AWANG DAPAT SOKONGAN PM

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KLEBANG 28 September – Ikhtiar Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengangkat kehebatan Panglima Awang atau dikenali sebagai Enrique de Malaca wajar diteruskan sebagai usaha meluruskan sejarah yang pernah terpesong.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan akan memberi sokongan penuh untuk Melaka terus mengisytiharkan sejarah-sejarah baharu menerusi kajian yang dijalankan.

Jelas beliau, ia penting memandangkan sejarah negara tidak seharusnya ditulis oleh penjajah, atau dipengaruhi ‘Barat’, sebaliknya ia perlu berlandaskan fakta sebenar negara.

“Apa yang istimewa adalah kita menceritakan semula kisah hasil kajian dan dapatan sejarawan yang dapat membina semula sejarah negara.

“Kita menunjukkan hebatnya orang Melaka, pintarnya orang Melaka. Seorang pendekar dan hulubalang yang dirampas dan dijadikan hamba abdi, naik kapal, tetapi masih menunjukkan kehebatannya sehingga diangkat kedudukannya berdampingan dengan Ferdinand Magellan mengelilingi dunia.

“Inilah sejarah anak Melayu Melaka yang kita banggakan,” katanya ketika berucap melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2026 di Encore Melaka, di sini, malam tadi.

Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; menteri-menteri pelancongan serta delegasi dari 159 buah negara yang hadir serta lain-lain kenamaan.

Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Menurut Anwar, atas kehebatan dan kekayaan sejarah Melaka, negeri bertuah ini dipilih menjadi tuan rumah bagi pelancaran Tahun Pelancongan Malaysia 2026.

“Melaka adalah destinasi pelancongan yang hebat. Dan sebab itulah kita memberikan kepentingan kepada Hari Pelancongan Sedunia di sini.

“Kerana keunikan Melaka, sekali lagi seperti yang saya katakan, di rantau ini tiada tandingannya,” tambah beliau.

/END

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

333
Kongsi :
Previous post TIKET MURAH MENARA TAMING SARI DI KARNIVAL WTD 2025
Next post FESTIVAL LAYANG-LAYANG ANTARABANGSA TAMBAH SERI WTD 2025