
EKOSISTEM KEUSAHAWANAN MELAKA SEMAKIN DINAMIK
KLEBANG 28 September – Kerajaan Negeri komited memperkukuh daya saing usahawan melalui pelbagai sokongan strategik dalam usaha melonjakkan ekosistem keusahawanan ke tahap yang lebih dinamik dan berdaya saing.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sokongan itu termasuklah membabitkan pelbagai program pembangunan kapasiti dan latihan, bantuan dan geran, galakan usahawan muda dan belia serta akses kepada pasaran global.
Jelas beliau, ia sekali gus memberi impak kepada jaringan perniagaan, pendedahan digital dan peluang kerjasama bersama pelabur luar.
“Menerusi inisiatif ini, kita memberi tumpuan kepada denyut nadi ekonomi tempatan, bukan sahaja membuka ruang pasaran baharu, malah berperanan sebagai pemangkin jaringan kerjasama strategik.
“Usaha-usaha ini berupaya memacu ekosistem keusahawanan Negeri Melaka ke tahap yang lebih dinamik dan berdaya saing,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Layang-Layang Antarabangsa dan Karnival Keusahawanan Negeri Melaka di Encore Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan Timbalannya Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, Karnival Keusahawanan yang diadakan bersempena Festival Layang-Layang Antarabangsa itu, merupakan antara usaha Kerajaan Negeri memperkasa usahawan mikro, kecil dan sederhana di negeri ini.
Jelas beliau, usaha itu terbukti memberi hasil memberangsangkan apabila seramai 133 usahawan telah menyertai sesi padanan perniagaan bersama 47 syarikat berasaskan peruncitan, sekali gus membuka potensi nilai perniagaan berjumlah RM14.97 juta.
“Pencapaian ini merupakan peningkatan yang signifikan berbanding potensi RM10.2 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. Syabas dan tahniah!
“Ini membuktikan bahawa Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) adalah tunjang sebenar kepada kekuatan ekonomi negara.
“Di Melaka sahaja, lebih kurang 3.5 peratus daripada 1.2 juta penubuhan perniagaan disumbangkan oleh PMKS,” kata beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.