Sorting by

×

FAN BINGBING ANGGAP HUBUNGAN DENGAN MELAKA SEBAGAI ‘TAKDIR INDAH’

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KOTA LAKSAMANA 28 September – Duta Setiakawan Pelancongan Melaka, Datuk Fan Bingbing, menyifatkan kunjungan terbaharunya ke negeri ini sebagai pengalaman penuh makna apabila menerima sambutan hangat daripada masyarakat serta kepimpinan negeri.

Artis terkenal China itu berkata, hubungan beliau dengan Melaka bagaikan satu takdir yang indah, sekali gus membuatkan dirinya semakin merasakan dekat dengan negeri bersejarah ini.

“Hubungan saya dengan Melaka bagaikan satu takdir yang indah. Saya semakin merasa terpikat dengan negeri ini,” katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pengalaman menghadiri Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), Fan Bingbing berkata acara itu benar-benar memukau dengan pelbagai persembahan menarik.

“Saya lihat persembahan tarian, bunga api dan pertunjukan dron yang memukau kerana berjaya menonjolkan identiti budaya tempatan,” jelasnya.

Beliau yang kini aktif mempromosikan Melaka menjelaskan hasratnya agar setiap pelawat pulang dengan memori indah mengenai budaya, makanan dan keramahan masyarakat negeri ini.

Dalam masa sama, Fan Bingbingmenyatakan kesediaannya memperluaskan kolaborasi seni bersama artis tempatan dan antarabangsa selain membantu mempromosikan Melaka ke peringkat global.

Menurutnya, kejayaan penganjuran aktiviti promosi pada 2025 menjadi faktor utama beliau kembali dengan fokus memperkenalkan budaya, makanan, mural serta keramahan masyarakat kepada pelancong luar.

“Biarpun perancangan bagi projek khusus seperti mural baharu atau video promosi belum dimuktamadkan oleh Kerajaan Negeri dan pihak berkaitan, saya teruja untuk melakukannya sekali lagi kerana penerimaan masyarakat dan pemimpin Melaka sangat baik serta membuka peluang interaksi dengan dunia melalui pelancongan,” katanya

Dalam pada itu, Fan Bingbing menantikan butiran lanjut daripada Kerajaan Negeri mengenai projek khusus bagi tahun 2026, termasuk cadangan mural baharu dan video promosi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

346
Kongsi :
Previous post FESTIVAL LAYANG-LAYANG LONJAK PELANCONGAN, PACU KEUSAHAWANAN
Next post SITI NURHALIZA JADI INSPIRASI FAN BINGBING, MAHU NYANYI LAGU MELAYU