
BMS 2025: ‘SUPERHERO’ PENENTU KEJAYAAN ANAK-ANAK
BANDARAYA MELAKA 29 September – ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’ menjadi slogan pilihan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sempena Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025.
Slogan tersebut dipadankan dengan tema ‘Pengembaraan’ yang menjadi simbolik cabaran anak-anak menempuh pelbagai cabaran pendidikan dan memerlukan sokongan ibu bapa selaku ‘Superhero’ buat mereka bagi menjayakannya.
Pengarah PTPTN Negeri Melaka, Mas Anisah Ayu Othman berkata program BMS sudah memasuki tahun kelapan sejak ia dilancarkan pada 2018, sekali gus menjadi program utama PTPTN bagi menguar-uarkan produk SSPN kepada masyarakat umum.
“2025 ini merupakan tahun yang kelapan program BMS dianjurkan sejak ia mula dilancarkan pada 2018.
“Menerusi program BMS, ini adalah inisiatif kami (PTPTN) bagi mempromosikan produk SSPN yang mana kami mengharapkan SSPN menjadi pilihan utama masyarakat negara dengan membuka akaun dan membuat simpanan tabungan pendidikan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika ditemui pada Program Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 Peringkat Negeri Melaka di pusat beli-belah Mahkota Parade, di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, bersesuaian dengan tema ‘Pengembaraan’ dan slogan ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’, perjalanan pendidikan anak-anak hari ini menempuh pelbagai cabaran dan ibu bapa selaku ‘Superhero’ akan menjadi merancang kewangan pendidikan anak-anak menerusi produk SSPN.
“Menariknya BMS tahun ini bertemakan ‘Pengembaraan’ dan kami masih mengekalkan slogan ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’, yang mana Superhero kami tujukan kepada ibu bapa kerana merekalah pelindung serta merancang kehidupan anak-anak terutamanya di dalam pendidikan.
“Bagi tema pula bertepatan dengan kehidupan dan pendidikan anak-anak, yang mana setiap yang anak-anak lalui adalah satu cabaran serta penemuan baharu, jadi simpanan SSPN ini merupakan bentuk sokongan awal daripada ibu bapa yang merancang kewangan anak-anak amnya,” ujarnya.
Sementara itu, pada program tersebut, orang ramai mengambil peluang membuat penabungan dalam Simpan SSPN di kaunter PTPTN serta berpeluang memperoleh cenderahati eksklusif BMS 2025.
Antara keistimewaan Simpan SSPN merangkumi pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma kepada pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif dan simpanan dijamin kerajaan serta patuh syariah turut ditawarkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.