Sorting by

×

DELEGASI UNWTO PROMOSI MENARA TAMING SARI

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDA HILIR 29 September – Lawatan delegasi Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) ke Menara Taming Sari dilihat sebagai peluang terbaik untuk mempromosikan produk pelancongan ikonik Melaka itu ke pentas antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hasan berkata, meskipun Menara Taming Sari tidak asing dalam kalangan pelancong asing, namun lawatan delegasi berkenaan dianggap istimewa dan amat bermakna.

“Walaupun hakikatnya kami menerima ramai pelancong antarabangsa hampir setiap hari tetapi kali ini ia memberi impak lebih bermakna.

“Kerana (lawatan) dapat mempromosikan secara terus kepada UNWTO yang mana saya percaya ia (pengalaman) akan dikongsikan ke seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan antarabangsa ke Menara Taming Sari bersempena Sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Nasrul Ahmad, hari ini.

Menurutnya, MTSB amat berbesar hati apabila tersenarai antara produk pelancongan yang dikunjungi delegasi antarabangsa bersempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.

“MTS rasa gembira kerana kami turut dilibatkan sama dalam aktiviti yang disenaraikan berlangsung sepanjang sambutan WTD dan WTC 2025 ini.

“Terima kasih khususnya kepada BPP, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kerajaan Negeri kerana memilih dan menjadikan kami antara destinasi kunjungan delegasi,” katanya.

Terdahulu, kunjungan 16 delegasi antarabangsa antaranya dari Sepanyol, Yaman, China dan Afrika itu disambut dengan persembahan tarian kebudayaan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

273
Kongsi :
Previous post BMS 2025: ‘SUPERHERO’ PENENTU KEJAYAAN ANAK-ANAK
Next post CEF MARTIN YAN PROMOSI MASAKAN MELAKA KE PERSADA DUNIA