
KEUNIKAN ECO-CRUISE SUNGAI LINGGI, SUNGAI MELAKA TAMBAT HATI DELEGASI UNWTO
BANDARAYA MELAKA 29 September – Keunikan pemandangan sepanjang pelayaran menerusi Eco-Cruise Sungai Linggi dan Melaka River Cruise diakui oleh 50 delegasi Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) yang diberi peluang menikmati sendiri dua produk pelancongan berkenaan.
Malah tidak keterlaluan apabila ada dalam kalangan delegasi menyatakan bahawa produk pelancongan kendalian Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu menjanjikan pengalaman yang amat menarik dan jarang ditawarkan di negara lain.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, delegasi itu turut melibatkan tiga menteri pelancongan dari Timur Leste; Filipina dan Kemboja selain wakil media antarabangsa mewakili Laos, Azerbaijan serta Iraq.
“Bagi pelayaran Eco-Cruise Sungai Linggi ramai yang teruja apabila melibat buaya berjemur selain kagum dengan flora dan fauna termasuk hutan paya bakau. Semua ini satu pengalaman menarik yang baharu kerana tidak ada di negara mereka.
“Mereka juga singgah di Taman Lokan untuk makan tengah hari sambil menyaksikan persembahan kompang dan silat, menikmati kuih buah tradisional Melaka serta menjamah buah nipah,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Jeti Pengkalan Rama, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Shaharul berkata delegasi turut dibawa menikmati panorama indah Sungai Melaka menerusi produk ikonik Melaka River Cruise.
“Ramai kagum dengan bangunan warisan menghiasi tebing Sungai Melaka hingga ada menyatakan mahu kembali ke negeri ini untuk bercuti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.