
CEF MARTIN YAN PROMOSI MASAKAN MELAKA KE PERSADA DUNIA
BANDA HILIR 29 September – Melaka bakal memanfaatkan pengaruh cef selebriti terkenal dunia, Chef Martin Yan, untuk memperkenalkan keunikan masakan tradisional negeri ini ke peringkat antarabangsa.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Martin Yan bukan sahaja memiliki reputasi global dalam dunia kulinari, malah kehadirannya di Melaka dilihat mampu membuka peluang baharu dalam mempromosikan negeri itu melalui industri makanan.
“Akhirnya, kita berjaya membawa seorang cef yang cukup terkenal sejak zaman kita kecil lagi. Beliau berhasrat untuk mempromosikan masakan Melaka kepada dunia.
“Kita akan berikan pendekatan baharu dalam promosi pelancongan dengan mengetengahkan kehebatan industri makanan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Rakaman Dokumentasi Pelancongan Masakan bersama Chef Martin Yan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Belia, Sukan dan NGO, Datuk VP Shanmugam; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.
Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan peranan Martin Yan dalam mempromosikan Melaka sebagai destinasi pilihan pelancong yang gemarkan keunikan citarasa tempatan.
“Beliau mempunyai pelbagai bakat yang boleh dimanfaatkan dan kita akan mencadangkan agar Martin Yan menjadi duta dalam memperkenalkan Melaka di peringkat antarabangsa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.