Sorting by

×

SUNGAI DAN SELAT MELAKA ‘BERCAHAYA’ OKTOBER INI

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA 30 September – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) akan menganjurkan Festival Sungai dan Selat Melaka yang bakal berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, festival tersebut bakal diwarnai dengan pelbagai pengisian menarik di dua lokasi iaitu Pengkalan Rama dan Teluk Berembang, Lubok China.

Katanya, acara yang berlangsung selama tiga hari itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan menampilkan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur.

“Antara tarikan utama festival ini ialah pembuatan kuih buah Melaka berskala besar yang akan di rekodkan sebagai Malaysia Book Of Records (MBOR) serta pertandingan sukan tradisional seperti konda kondi dan dam haji.

“Selain itu, kita juga akan membawakan persembahan seni budaya; Fun Run Sungai Melaka, serta Pasar Saloma yang mengetengahkan gerai bercirikan nostalgia dengan barangan antik dan tradisional,” katanya kepada Melaka Hari Ini di Jeti Pengkalan Rama, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata, pada festival itu juga pengunjung berpeluang menaiki kereta lembu, melihat pameran haiwan seperti ‘petting zoo’, menyaksikan pelepasan anak itik ke Sungai Melaka, serta pertunjukan air seperti jet ski dan perahu.

“Lebih menarik, kira-kira 30 bot berhias akan menyertai perarakan di Jeti Teluk Berembang dengan kerjasama nelayan tempatan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Festival ini bukan sahaja terhad di kawasan bandar, malah diperluas ke utara Melaka iaitu Masjid Tanah bagi memberi peluang masyarakat luar bandar bersama-sama meraikannya,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post KADAR PENGANGGURAN MENURUN, PELUANG KERJA BERTAMBAH DI MELAKA
Next post MELAKA PELOPOR PERTANDINGAN KONDA KONDI PERTAMA DALAM SEJARAH NEGARA