
MAIM BANTU ASNAF BINA KELUARGA BAHAGIA
LENDU 30 September – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus komited dalam membantu asnaf di negeri ini menerusi pelbagai program, bukan sahaja berbentuk bantuan dan sumbangan, bahkan juga perkongsian ilmu.
Antara program ilmu yang dianjurkan MAIM adalah Seminar Membina Keluarga Rahmah Daerah Alor Gajah (MEKAR) yang diadakan Masjid Salmah Khamis, di sini, baru-baru ini.
MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, program itu disertai seramai 280 asnaf yang hadir bersama keluarga yang mengikuti pelbagai pengisian aktiviti antaranya informasi kehidupan berkeluarga, kenali pasangan dan diri, ceramah kesihatan dan lain-lain lagi.
Sesi perkongsian itu telah disampaikan oleh penceramah khas iaitu Pengarah Pusat Islam Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Dr. Redwan Yasin.
Pada masa sama, turut diadakan Karnival Riang Ria Islam (KARIM) yang membabitkan pengisian simulasi haji bagi anak-anak asnaf serta program Free Market atau pakaian percuma kepada mereka yang memerlukan.
Terdahulu, perasmian program tersebut telah disempurnakan Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Insan MAIM, Zuraini Bibi Mohamed Yusoff.
Hadir sama, Ketua Unit Pembangunan Asnaf MAIM, Muhammad Azizol Mohd Sahimi dan Ketua Unit Badan Sukarelawan Al-Taqwa, Haszlinda Zainal Abidin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.