
MEGAMIX FIESTA: PENTAS MEMBENTUK GENERASI PENEROKA MASA DEPAN
TANJUNG BIDARA 30 September – Penganjuran program berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi pentas membentuk generasi peneroka masa depan yang berjiwa besar dan berani mencuba mencipta peluang.
Sehubungan itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran program seperti MegaMix Fiesta yang menggabungkan Karnival Kokurikulum, STEMspire dan Hari Koperasi bukan sekadar program untuk memenuhi takwim sekolah. Menurut Ketua Menteri, sebaliknya ia adalah manifestasi komitmen Kerajaan Negeri untuk melahirkan pelajar yang cemerlang, seimbang dan berdaya saing.
“Saya dimaklumkan, karnival ini berjaya menghimpunkan lebih 30 buah sekolah rendah dan menengah dari seluruh Negeri Melaka, melibatkan lebih 2,000 pelajar yang mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan, pameran inovasi dan aktiviti interaktif.
“Malah, penglibatan pelajar dalam bidang STEM di Melaka mencatatkan 53.89 peratus, mengatasi purata nasional 47.46 peratus. Angka ini secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai hab pendidikan TVET negara yang melahirkan generasi celik teknologi, berdaya cipta dan mampu memacu transformasi,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan program MegaMix Fiesta @SGB, Karnival Korikulum, STEMspire @SGB dan Hari Koperasi Peringkat Negeri Melaka di Dewan Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor dan Pengurus Besar Yayasan Petronas, Zaki Mahat.
Yang turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah Ab Malek Kasim dan Pengetua SMK Ghafar Baba Sahreah Md Zin.
Justeru, Ketua Menteri menaruh harapan agar barisan pentadbir sekolah serta seluruh warga pendidik terus menjadikan platform seumpama ini sebagai wadah strategik untuk memperluas pendedahan STEM dan TVET kepada pelajar.
“Saya yakin anak-anak Melaka mampu menjadi pemimpin ilmu STEM sehingga ke pentas global,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.